Wednesday, January 27, 2010

Semalam, Hari Ini dan Esok

Ada pepatah inggeris berbunyi...'Yesterday is History, Tomorrow is a Mystery... and today is a Gift. That's why it's call PRESENT'. Cantik kan, maknanya. Apa yang berlaku semalam telahpun menjadi sejarah dan hari esok pula belum pun berlaku. Apa yang paling penting ada hari ini. Kita takkan mampu mengubah sejarah yang lepas, namun apa yang kita mampu ialah mencorak masa depan kita dengan melakukannya sebaik mungkin... HARI INI.

Ada orang yang masih hidup di masa silam. Kita selalu berdepan dengan orang yang macam ini. Mereka selalu berkata, 'Dulu saya seorang yang hebat...', atau 'Dulu saya memang banyak duit...' dan macam-macam lagi kan. Saya itu, saya ini, tak habis-habis dengan cerita lama mereka. Perlu diingat, yang lepas tak penting cik abg oii... yang penting SIAPA ANDA SEKARANG. Kehebatan anda di masa silam hanyalah kenangan yang patut dilupakan. Jangan jadi orang yang hidup di masa silam, sesungguhnya kehidupan mereka adalah tipu daya semata-mata.
Tetapi anda jangan lupa, ada juga di antara kita yang hidup di masa hadapan. Maksudnya, mereka kerapkali merancang itu dan ini, tetapi tidak dilaksanakan dengan baik. Kalau boleh semua nak buat, semua yang terbaik. Mereka TERLALU merancang sampai menghabiskan HARI INI dengan cerita HARI ESOK. Terlampau merancang sampai tiada tindakan. Sayang... mereka tergolong dari orang yang rugi dan sia-sia.

Sebaiknya, jadilah orang yang menumpukan sepenuh perhatiannya pada HARI INI. Kerana hari ini lebih bermakna dari SEMALAM, dan lebih penting dari ESOK. Hari ini adalah penentu segala-galanya. Kenapa perlu kita agungkan kehebatan kita semalam, sedangkan waktu itu telah pun berlalu? Kenapa kita perlu bersedih tentang kegagalan semalam, sedangkan segala-galanya telahpun terjadi? Rileks... tarik nafas dalam-dalam. Apa yang penting adalah hari ini.
Jangan pula membuang masa anda untuk berfikir terlalu lama tentang esok, kerana ianya belumpun terjadi. Kenapa perlu dirisaukan sangat, sedangkan apa yang berlaku esok, adalah rentetan kejadian yang kita lakukan hari ini. Jika hari ini kita telah melakukan yang terbaik, maka esok pasti bakal membuahkan kejayaan.

'Just Do It!' Buat saja... dan lakukan yang terbaik. Jangan biarkan kegagalan anda semalam dan kebimbangan anda tentang esok menjadi batu penghalang untuk anda mencapai kejayaan.

Hari ini adalah penentu segalanya. Jangan biarkan ia berlalu dengan begitu sahaja. Bertindak sekarang!

No comments:

Post a Comment